Soalan Lazim

Apa itu TAKAFUL ?

TAKAFUL adalah satu perkataan yang berasal dari perkataan Arab iaitu Kafala. Ianya bererti Saling Jamin Menjamin, Menjaga atau Memelihara.

Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan. surah al-Maaidah, ayat 2.

“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.

Perbandingan hubungan dan perasaan antara Mukmin umpama sebuah badan; apabila salah satu daripada bahagian merasa sakit, akan terasa seluruh badan.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Demi diriku, yang di dalam kekuasan ALLAH, tiada siapa yang akan masuk Syurga jika ia tidak melindungi jirannya yang di dalam kesusahan.
(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

Berdasarkan dalil-dalil di atas, para sarjana Islam telah membuat keputusan bahawa perlunya ada usaha yang bersepadu untuk melaksanakan konsep Takaful sebagai kaedah yang terbaik untuk menghuraikan keperluan ini.

Ciri-Ciri Takaful

  1. Sistem Islam
  2. Sumbangan Tabarru
  3. Tiada unsur maisir (judi)
  4. Tiada unsur riba
  5. Tiada unsur gharar (ragu-ragu)
  6. Pelaburan Halal
  7. Majlis Pengawasan Syariah
  8. Al-mudharabah (Perkongsian untung)

Takrif Tabarru’at

Tabarru’at merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama.

Penegasan ini dapat dilihat dari fatwa oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang menegaskan insurans Islam boleh diadakan dengan syarat setiap peserta menderma di dalam satu tabung untuk membantu sesama mereka.

Hari ini, kebanyakan syarikat yang menjalankan Takaful adalah terlibat dengan dunia perniagaan. Oleh itu Tabarru’at yang bersyarat, diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Syarikat terpaksa menetapkan kadar Tabarru’at kerana ingin memastikan Tabung Tabarru’at yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Justeru itu, jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru’at yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut.

Terdapat juga sesetengah pendapat yang merasakan penggunaan istilah Tabarru’at adalah tidak tepat kerana amalannya adalah berbeza dengan maksudnya yang bererti peserta tidak boleh disyaratkan jumlah pembayaran kerana ia adalah ikhlas semata-mata. Namun dengan operasi dan mekanisme yang digunakan dalam industri Takaful, diharapkan ia tidaklah dijadikan isu yang besar.

Penggunaan Tabarru’at yang menjadi dasar Takaful telah berjaya melahirkan satu Insurans Islam yang tidak bercanggah dengan Syarak. Unsur-unsur Gharar dan Maisir telah dapat dihapuskan dengan kewujudan dasar tersebut.

Maisir/ Judi

Para ulama’ menyatakan Maisir dan Gharar mempunyai kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antara keduanya adalah terlalu rapat dan saling berkait.

Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud bilamana:

  1. Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
  2. Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.
  3. Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.

Riba

Unsur riba terdapat dalam urusniaga Pinjaman dari Polisi yang ditawarkan kepada peserta dalam produk Insurans Nyawa. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, Syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa bayaran faedah tersebut merupakan riba yang dilarang oleh Islam.

Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan insurans, kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional.

Gharar

Maksud al-Gharar ialah “ketidakpastian”. Maksud ketidakpastian dalam urus niaga muamalah ialah:

“Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain”.

Menurut Ibn Rushd maksud al-Gharar ialah, “Kurangnya maklumat tentang keadaan barang (objek), wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui”.

Ibn Taimiyah pula menyatakan al-Gharar ialah, “Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat”.

Al-Gharar ditakrifkan dalam Kitab Qalyubi wa Umairah menyatakan Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai “Satu (aqad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.

Prof Madya Dr. Saiful Azhar Rosly menyatakan, “Gharar yang dimaksudkan dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudaratan ke atas pihak yang dizalimi. Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli, gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan”.

Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan. Keadaan ini bertepatan dengan definisi gharar oleh Ibn Taimiyah yang menerangkan gharar dalam kontrak berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerimanya.

Menurut laporan Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia, adalah jelas di dalam kontrak insurans yang diamalkan sekarang mengandungi elemen gharar kerana Ma’kud Alaih (barang) tidak jelas, dan ia berkait dengan:-

  • Tidak diketahui dengan jelas samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan.
  • Tidak diketahui kadar bayarannya.
  • Tidak diketahui bila masanya.

Badan Petugas menyatakan kewujudan gharar dalam kontrak insurans kerana Kontrak Insurans adalah di atas “Dasar Jual Beli”. Dalam Islam, jika sesuatu itu terlibat dengan muamalah jual beli maka ia mesti memenuhi rukun dan syarat jual beli. Antara rukunnya ialah:

  1. Penjual dan Pembeli
  2. Aqad (Ijab dan Qabul)
  3. Barang (Ma’kud Alaih/Subject Matter)

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kewujudan ketidakpastian ‘barang’ dalam kontrak insurans kerana syarat barang yang telah ditetapkan oleh Syarak tidak dapat dipenuhi. Bagi Islam, syarat-syarat bagi setiap rukun-rukun tersebut adalah penting dan mesti dipenuhi. Di antara syarat barang yang mesti dipenuhi ialah:

  1. Barang tersebut dapat diserahkan dalam majlis akad.
  2. Masa penyerahannya telah ditetapkan.
  3. Barang tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya.
  4. Tempat untuk diserahkan barang telah ditentukan.
  5. Bukan barang yang mengandungi unsur-unsur najis dan dilarang Syara’.

Seperti juga dengan pasangan yang ingin berkahwin. Mereka mestilah memenuhi rukun kahwin seperti adanya pengantin lelaki, perempuan, wali, 2 saksi lelaki yang adil dan ijab qabul. Tetapi jika salah satu rukun tersebut tidak dapat dipenuhi maka perkahwinan itu akan menjadi tidak sah. Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa ‘barang’ dalam kontrak insurans adalah jelas kerana ia telah tercatat dalam kontrak dan akan diserahkan apabila terjadinya kemalangan. Lebih mengukuhkan lagi hujah tersebut ialah apabila mahkamah sendiri akan mendengar kes seumpama itu.

Kita mengakui pendapat ini dan kerana itulah dinyatakan perbezaan sebenar antara Takaful dan Insurans ialah dari segi “Keyakinan (Belief)”. Cuba kita perhatikan, apakah bezanya pasangan yang berkahwin dengan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan kecuali melalui kontrak yang dianggap sah oleh undang-undang sivil? Tentu sekali wujud perbezaan walaupun kontrak yang dibuat oleh pasangan tersebut adalah lengkap dengan segala hak antara kedua pasangan telah termaktub dan diditilkan dalam kontraknya, namun bagi Islam ia tetap tidak sah kerana berlawanan dengan Syarak.

TAKRIF TABARRU’AT, MAISIR/JUDI, GHARAR DAN RIBA

SUMBER http://ms.wikipedia.org/wiki/Takaful#Takrif_Tabarru.27at